Monday, November 11, 2013

4 SIKAP USAHAWAN


4 Sikap yang ada pada Semua Usahawan Berjaya

Bukan mudah nak jadi usahawan berjaya. Sebab itu kajian demi kajian dilakukan untuk mengenal pasti kenapa golongan usahawan berjaya tersebut berjaya sedangkan ramai lagi yang gagal.
“Success in business requires training and discipline and hardwork. But if you’re not frightened by these things, the opportunities are just as great as they ever were.” - David Rockefeller
Seperti yang diucapkan oleh David Rockfeller di atas, jika seseorang itu tidak takut mendengar perkataan,

  • Berlatih
  • Disiplin
  • Kerja Keras

Dia mempunyai peluang yang terbuka luas di hadapannya untuk meraih kejayaan. Petua tersebut sebenarnya boleh dipakai dalam apa jua lapangan seandainya kita mahu terbang tinggi ke awan.

4 sikap yang biasanya dikongsi oleh para usahawan kecil dan sederhana yang berjaya mengharungi pahit getir dalam dunia perniagaan dirumuskan oleh satu badan NGO yang bermatlamat membantu para usahawan kecil dan sederhana yang menamakan diri mereka SCORE.

Daripada kajian mereka, ada 4 perkara atau sikap seperti di bawah biasanya ada pada semua para usahawan berjaya:


1. Pengalaman dalam kerjaya
Mereka yang mempunyai pengalaman dalam kerjaya makan gaji dan berjaya melaksanakan tanggung jawab sepanjang kerjayanya biasa mampu membuat keputusan perniagaan yang baik berbanding mereka yang tak berpengalaman. Golongan ini juga punyai harapan cerah untuk mendapatkan modal dan biasanya usaha mereka tidak akan mampu sekerat jalan. Taukeh Pasaraya Mydin adalah contoh yang baik dalam perkara ini. Mereka yang ada mengikuti ceramahnya tentu pernah mendengar pengalaman kerjaya beliau.
2. Perancangan perniagaan

Ada pendapat mengatakan bahawa kertas kerja perniagaan tidak perlu untuk memulakan perniagaan. Tetapi perancangan perniagaan tetap penting samada ada diterjemahkan di atas kertas maupun terpahat dalam otak usahawan. Jika usahawan memerlukan pinjaman perniagaan, maka perancangan perniagaan perlu dicurahkan di atas kertas untuk memudahkan kelulusan pinjaman perniagaan. Biasanya mereka yang ada perancangan adalah 2 kali lebih berjaya daripada yang tidak ada.
3. Perwatakan yang positif

Personaliti yang baik seperti memahami, mudah berkawan dan seumpamanya amat membantu dalam kejayaan seseorang. Jika anda rasa menjadi diri anda seadanya sedangkan anda kaki panas baran, tidak penyabar dan seumpamanya boleh membuatkan anda menjadi usahawan berjaya, fikirkan semula.
4. Mentor

Ini sudah beberapa kali saya nyatakan dalam beberapa artikel sebelum ini. Mereka yang mendapatkan bantuan mentor atau seumpamanya sejak sebelum berniaga biasanya 3 kali ganda akan memulakan perniagaan berbanding mereka yang sekadar angan-angan atas katil tanpa berusaha mencari seorang mentor. Kajian juga mendapati mereka yang ada mentor berpeluang sebanyak 7 kali lebih baik untuk mendapatkan dana berbanding yang tak ada mentor. Walaupun kadar kegagalan cukup tinggi pada tahun pertama, 84% dari usahawan yang ada mentor biasanya mampu melepasi tahun pertama dan kedua perniagaan mereka.
Cuba ulang baca keempat-empat perkara di atas dan fikirkan samada anda ada kesemua sikap yang dinyatakan untuk meluluskan anda masuk dalam golongan mereka yang bakal menjadi usahawan berjaya.

Wednesday, November 6, 2013

CIRI AHLI PERNIAGAAN YANG BERJAYA


Setiap ahli perniagaan sentiasa ingin berjaya dengan cemerlang dan mengaut keuntungan semaksimum mungkin. Namun, bukan mudah menjadi usahawan dan perniaga yang berjaya kerana dunia perniagaan mempunyai pelbagai risiko dan masalah yang perlu dihadapi. Ahli perniagaan, sama ada peniaga kecil mahupun besar perlu memiliki beberapa ciri yang akan dibincangkan. Jika mahu berjaya dengan cemerlang, peniaga wajar dan patut memiliki ciri-ciri ini. Antara ciri-ciri ahli perniagaan yang berjaya adalah seperti yang berikut :

1. Memiliki modal yang cukup
Jika ingin memulakan perniagaan, seseorang itu perlu memiliki modal yang cukup agar dapat menjalankan atau membuka perniagaan dengan lancar. Kekurangan modal akan menjadi penghalang kepada seseorang memulakan perniagaan. Modal yang dimaksudkan di sini bukan sahaja modal yang cukup untuk membuka sesebuah perniagaan tetapi juga untuk simpanan dan modal pusingan.

2. Sentiasa berilmu
Jika ingin berjaya dalam perniagaan, anda perlu menjadi seorang yang sentiasa berilmu kerana ilmu adalah penting. Memiliki ilmu, terutama ilmu berkaitan perniagaan yang anda ceburi seperti ilmu pemasaran, ilmu perakaunan, punca kenaikan kos dan harga barang dan lain-lain adalah amat penting. Jika anda berilmu, anda akan mengetahui pelbagai perkara yang bersangkut paut dengan perniagaan. Memiliki ilmu juga akan membantu anda mengelakkan kerugian dan tahu menangani masalah dalam perniagaan.

3. Memilih perniagaan yang kurang risiko
Setiap jenis perniagaan, sama ada besar atau kecil tetap mempunyai risiko. Seseorang yang ingin berjaya dalam perniagaan perlu memilih jenis perniagaan yang kurang berisiko. Risiko pernigaan muncul akibat pelbagai faktor umpamanya persaingan dan kehendak pasaran. Tidak dinafikan bahawa sekiranya seseorang itu bijak mengendalikan perniagaannya, segala risiko dalam perniagaan dapat diatasi. Risiko perniagaan boleh menyebabkan perniagaan rugi dan jatuh bankrap. Justeru, sebelum memilih perniagaan, pastikan perniagaan tersebut tidak mempunyai banyak risiko yang memungkinkan anda rugi dan gagal dalam perniagaan.

4. Bijak mengatur perbelanjaan dan akaun
Peniaga perlu bijak berbelanja dan menguruskan akaun. Setiap hari perlu ada catatan keluar masuk (debit-kredit) wang. Setiap minggu dan bulan, kajian tentang untung rugi dalam perniagaan perlu dilakukan. Mengatur akaun perlu dilakukan oleh peniaga untuk mengetahui untung dan rugi dalam perniagaan supaya langkah mengelakkan kerugian dapat diambil. Memiliki akaun adalah langkah peniaga yang bijak yang ingin berjaya.

5. Memenuhi kehendak pasaran
Jika ingin memulakan perniagaan, peniaga perlu menyelidik dan memahami kehendak pasaran. Ramai peniaga gagal dalam perniagaan kerana tidak membuat penyelidikan tentang kehendak pasaran dan keutamaan pengguna. Sebaik-baik perniagaan ialah perniagaan yang memenuhi kehendak pasaran dan mampu memenuhi kehendak pengguna.

6. Produk dan perkhidmatan berkualiti
Peniaga perlu memberikan perkhidmatan yang berkualiti dan menjual produk yang bermutu serta memuaskan hati pelanggan. Kebanyakan pelanggan dan pengguna akan melihat kualiti produk. Pelanggan kini sering berfikir tentang kerugian. Justeru, pelanggan akan berbelanja untuk mendapatkan produk dan memastikan produk itu berkualiti dan berbaloi.

7. Berperibadi mulia
Peniaga perlu berperibadi mulia. Namun, terdapat peniaga bersikap sombong dan angkuh, terutama apabila melayan pelanggan yang banyak kerenah. Peniaga perlu sentiasa senyum dan melayan kerenah pelanggan dengan baik. Slogan "Pelanggan sentiasa betul" perlu difahami peniaga. Disebabkan peniaga ialah manusia yang sering berurusan dengan orang ramai. Maka, peniaga perlu memiliki peribadi yang baik dan disukai pelanggan dan pengguna. Peribadi yang baik akan banyak membantu peniaga untuk berjaya dan kekal dalam perniagaan.

8. Mempelbagai jenis perniagaan
Peniaga yang mempelbagaikan jenis perniagaan  ialah peniaga yang bijak. Setiap peniaga perlu mempelbagaikan jenis perniagaan dan jangan hanya bergantung satu jenis perkhidmatan atau kepada sesuatu produk sahaja. Mempelbagaikan jenis barang akan menarik lebih ramai pelanggan.

9. Sentiasa merebut peluang
Peluang perniagaan wujud dalam pelbagai bentuk. Peniaga yang bijak akan merebut setiap peluang yang ada. Kejatuhan mata wang negara suatu masa dahulu memang menjejaskan ekonomi negara, namun dalam masa yang sama memberi peluang kepada peniaga yang bijak merebut peluang. 

10. Memiliki IQ cemerlang
IQ cemerlang adalah penting bagi peniaga. Memiliki IQ cemerlang akan membantu peniaga dalam menyelesaikan banyak perkara dan masalah dalam perniagaan. Memiliki IQ cemerlang akan memandu seseorang peniaga bijak berfikir, bijak merancang, bijak merebut peluang, bijak membuat pemasaran, bijak mengelakkan kerugian, bijak membuat keputusan dan bijak menarik pelanggan.

Ciri-ciri ahli perniagaan yang berjaya ini mempunyai lebih 101 ciri, dimana kita boleh menjadikannya panduan dalam hidup kita serta mengamalkannya dalam perniagaan kita agar kita menjadi usahawan yang berjaya serta mempunyai matlamat hidup berpandukan apa yang kita lakukan. Antara 92 lagi ciri-ciri ahli perniagaan yang berjaya ialah seperti berikut :
  1. Mencari jalan mengelakkan kerugian.
  2. Menghabiskan stok.
  3. Bijak menarik pelanggan.
  4. Menyimpan keuntungan.
  5. Memiliki simpanan.
  6. Bersedia menempuhi kemerosotan.
  7. Merancang perniagaan.
  8. Hutang berjadual.
  9. Modal mengatasi hutang.
  10. Meneroka bidang baru.
  11. Pemasaran yang efisien.
  12. Berjaya memenuhi kehendak pelanggan.
  13. Komited dan bersungguh-sungguh.
  14. Mempunyai wawasan dan matlamat.
  15. Sabar dan tabah.
  16. Berani mencuba.
  17. Sentiasa bersaing.
  18. Berusaha meningkatkan keuntungan.
  19. Sentiasa belajar daripada pengalaman.
  20. Memanfaatkan masa.
  21. Memilih lokasi yang tepat.
  22. Merancang untuk berjaya.
  23. Sentiasa ada perubahan dan kemajuan.
  24. Berfikiran besar.
  25. Memberi kelainan.
  26. Biar kecil perniagaan,keuntungan besar.
  27. Memberi reputasi yang baik kepada pelanggan.
  28. Sentiasa mencari pelanggan.
  29. Tidak menjual produk tidak berkualiti.
  30. Menambah perkhidmatan tanpa bayaran tambahan.
  31. Sentiasa mendapatkan harga terbaik dari pembekal.
  32. Membuat penyelidikan.
  33. Berusaha mengekalkan harga rendah.
  34. Mengikut arus pasaran dan zaman.
  35. Mengikuti perkembangan ekonomi.
  36. Sentiasa memperbaiki kelemahan.
  37. Memilih kualiti bukan kuantiti.
  38. Mengelakkan tanggapan salah.
  39. Membuat perancangan berterusan.
  40. Mengeluarkan produk yang berjaya di pasaran.
  41. Melatih pekerja tentang perniagaan.
  42. Mengkaji kehendak pelanggan.
  43. Sentiasa memperbaharui produk dan khidmat.
  44. Meniru kemajuan pesaing.
  45. Mencari punca kegagalan.
  46. Peka dengan komen dan kritikan pelanggan.
  47. Mencari idea baru.
  48. Menyimpan keuntungan.
  49. Memilih pekerja berkualiti.
  50. Menolak produk yang tidak berkualiti.
  51. Mementingkan modal berbanding perbelanjaan.
  52. Mengikuti perkembangan semasa.
  53. Memajukan perniagaan tanpa jemu.
  54. Mengawal keinginan dan nafsu.
  55. Sabar dalam rancangan jangka panjang.
  56. Merancang pemasaran dengan bijak.
  57. Mengurangkan kerugian.
  58. Bijak berkomunikasi.
  59. Mencari kelemahan.
  60. Mengkaji kegagalan orang lain.
  61. Bersikap mahu berubah.
  62. Rajin bertanya.
  63. Fahami kos perniagaan.
  64. Belajar mengekalkan pelanggan.
  65. Cekap atasi masalah.
  66. Berusaha melipatgandakan keuntungan.
  67. Mengelakkan kelalaian.
  68. Tekun dan komited.
  69. Pelbagai taktik menarik pelanggan.
  70. Sentiasa tidak berpuashati.
  71. Berani hadapi persaingan.
  72. Berani hadapi risiko.
  73. Mempelbagai jenis perniagaan.
  74. Berusaha menjimatkan kos.
  75. Meningkatkan dan mengekalkan prestasi.
  76. Impian selari dengan usaha.
  77. Melihat kejayaan orang lain sebagai panduan,bukan ancaman.
  78. Merancang masa depan dengan baik.
  79. Merebut peluang.
  80. Memiliki pelan kecemasan.
  81. Usahasama antara usahawan.
  82. Bertanggungjawab kepada pengguna.
  83. Menambah kemahiran dalam perniagaan.
  84. Memanfaatkan masa.
  85. Bertindak sebelum terlambat.
  86. Sentiasa berhati-hati.
  87. Sentiasa memantau perniagaan.
  88. Hadiri kursus dan bengkel.
  89. Elakkan penipuan.
  90. Menerima pandangan pakar.
  91. Menjauhi sikap mahu cepat kaya dengan pantas.
  92. Mengikuti ajaran dan panduan agama.


"Daripada Abu Zarr r.a. juga, (beliau meriwayatkan):
Bahawa sebahagian sahabat Rasulullah SAW berkata kepada Nabi SAW: Wahai Rasulullah! Orang-orang kaya telah mendapat banyak pahala. Mereka sembahyang sebagaimana kami sembahyang, mereka berpuasa sebagaimana kami berpuasa dan mereka bersedekah dengan lebihan harta mereka. Baginda bersabda: Bukankah Allah telah menjadikan bagi kamu sesuatu yang kamu boleh bersedekah dengannya? Sesungguhnya dengan setiap kali tasbih itu adalah sedekah, setiap kali takbir itu adalah sedekah, setiap kali tahmid itu adalah sedekah, setiap kali tahlil itu adalah sedekah, menyuruh amar ma'aruf itu sedekah, menegah mungkar itu sedekah dan pada kemaluan seseorang kamupun adalah sedekah. Mereka bertanya: Ya Rasulullah! Adakah apabila salah seorang kami melepaskan syahwatnya pun dia beroleh pahala? Baginda bersabda: Bagaimana pandangan kamu kalau dia melepaskan syahwatnya pada tempat haram, adakah dia berdosa? Maka demikian jugalah apabila dia melepaskannya pada tempat yang halal, dia beroleh pahala"                                                                                                                                                         Hadis riwayat al-lmam Muslim.


FAKTOR KEGAGALAN SESEORANG USAHAWAN



Ketahuilah faktor usahawan gagal dan ambil ikhtibar dari faktor kegagalan tersebut. Walaupun berniaga sendiri banyak kelebihannya, ada sesetengah usahawan gagal menjalankan perniagaan atas faktor-faktor berikut. Antara faktor dan penyebab mengapa usahawan gagal dijelaskan sebagaimana yang berikut.

1. Gagal merancang dengan baik ataupun tidak tahu merancang.
Mereka yang gagal merancang , sebenarnya merancang supaya gagal. Walaupun rancangan mungkin dibuat, ia tidak spesifik dan sekadar, "Saya mahu untung tahun ini!". Berapa sasaran untungnya dan bagaimana merealisasikannya. Tidak ditetapkan. Akhirnya, impian jadi seperti angan-angan Mat Jenin.

2. Gagal mengurus aliran tunai 
Tiada catatan dan rekod transaksi yang membolehkan aliran wang keluar dan masuk diketahui dengan tepat dan dipantau. Sesetengah usahawan berpendapat, wang masuk adalah keuntungan dan sebagai pemilik perniagaan, mereka berhak membelanjakan wang bagi apa saja tujuan, termasuk perkara yang tidak menguntungkan perniagaan.

3. Suka bertangguh
Sikap ini pada awalnya mungkin tidak memberikan masalah besar, tetapi apabila dibiarkan, ia memberi kesan pada pengurusan perniagaan. Dokumen jadi bertimbun kerana lewat diproses, masa terbuang dengan mencari maklumat dan akhirnya keputusan yang dibuat adalah tidak tepat serta merugikan perniagaan.

4. Mengambil mudah aspek persaingan
Usahawan mengambil pendirian, 'rezeki secupak tidak akan jadi segantang'. Mereka juga terlalu yakin dengan kelebihan diri kerana sudah lama bertapak dan dikenali ramai, tidak berusaha supaya terus berdaya saing serta tiada usaha memperbaharui dan mengunikkan produk dan perkhidmatan.

5. Strategi pemasaran yang tidak berkesan
Strategi pemasaran yang digunakan tidak berkesan bagi menarik pelanggan. Malah, ianya tidak berjaya mengekalkan pelanggan yang sedia ada. Pelanggan lebih tertarik dengan pesaing yang strategi pemasarannya jauh lebih berkesan.

6. Khidmat pelanggan yang tidak cekap
Usahawan hanya memikirkan bagaimana mendapatkan pelanggan tetapi tidak memikirkan cara mengekalkan pelanggan. Hakikatnya, mengekalkan pelanggan adalah lebih sukar daripada mendapatkan pelanggan.

7. Pekerja tidak cekap dan tidak amanah
Pekerja diambil tidak berdasarkan kemahiran dan sikap yang betul. Usahawan tidak membuat pelaburan bagi melatih pekerja dan tidak meluangkan masa yang cukup bagi menyelia pekerja.

8. Kemahiran terhad
Usahawan mahir dalam satu bidang sahaja. Sebagai contoh, usahawan produk kraf tangan perlu juga ada pengetahuan dalam aspek komunikasi, pemasaran, komputer, perhubungan awam dan sebagainya.

9. Lokasi perniagaan tidak sesuai
Kedai sukar disinggahi ataupun pelanggan sukar pergi ke kedai itu. Misalnya, kedai berada di tengah-tengah persimpangan lampu isyarat ataupun terlindung, menggagalkan perniagaan walaupun barangannya bermutu dan banyak pilihan. Pelanggan juga mungkin tidak terperasan apabila kedai pakaian misalnya, terletak di tingkat atas bangunan.

10. Tidak berfikiran jauh
Usahawan tidak berfikiran global dan futuristik atau ke hadapan. Mereka tidak tahu ataupun tidak ambil tahu perkembangan semasa pelbagai aspek perniagaan. Barangan yang dijual ataupun perkhidmatan yang diberikan mungkin terkebelakang daripada segi ciri-cirinya dan mempunyai permintaan yang berkurangan. Usahawan perlu menambah ilmu pengetahuan dari semasa ke semasa dan boleh dilakukan dengan menghadiri kursus serta seminar keusahawanan, mendapatkan nasihat daripada rakan-rakan serta mereka yang pakar dan juga membaca majalah-majalah serta laman web berkaitan usahawan.

11. Kurang pengalaman
Usahawan menjalankan perniagaan dalam bidang yang mereka tidak mahir ataupun tidak minat. Usahawan yang bermula daripada bawah, biasanya lebih berjaya dan kekal lama kerana mereka berpengalaman dalam perniagaan yang dijalankan. Mereka juga tidak mudah dikalahkan oleh pesaing.

12. Kurang modal kewangan
Perniagaan yang dimulakan tanpa modal yang mencukupi, mungkin menyukarkan usahawan berkembang, mengecewakan pelangga dan akhirnya menggagalkan perniagaan. Walau bagaimanapun, modal yang sedikit apabila diurus dengan baik, tidak mustahil rezeki secupak menjadi segantang.

13. Tiada sistem mengurus akaun yang efisien
Hal ini menyebabkan usahawan tidak tahu kekuatan sebenar perniagaan dan mengesan kelemahan perniagaan pada peringkat awal. Masih ramai usahawan bumiputera tidak mementingkan aspek mengurus akaun dalam perniagaan mereka. Antara sebabnya adalah, mereka gagal memahami bagaimana sistem mengurus akaun yang mantap dapat membantu mereka mengaut untung dan mengelak rugi.

14. Terlalu tamak berkembang
Usahawan tidak 'mengukur baju di badan sendiri'. Cawangan yang dibuka tidak kena pada masanya dan tanpa kemampuan kewangan yang mencukupi, menyebabkan usahawan gagal.

15. Tiada penyambung kejayaan
Ada perniagaan gagal bertahan lama kerana individu yang bertanggungjawab membangunkan perniagaan, jatuh sakit ataupun meninggal dunia. Malangnya, tiada siapa yang berkebolehan dan terlatih, dapat mengambil alih perniagaannya. Ada perniagaan yang berjaya pada zaman 'pentadbiran' si ayah, tetapi menjadi kucar kacir apabila tampuk 'pemerintahan' diambil alih oleh si anak.

16. Rakan kongsi berpecah
Perniagaan yang berpotensi juga boleh gagal akibat rakan kongsi yang tidak sehaluan.

17. Sikap negatif usahawan
Perniagaan boleh gagal disebabkan oleh sifat negatif yang dimiliki oleh usahawan seperti hasad dengki, boros, tamak, pemarah, berprasangka, terlalu berahsia dan individualistik.



7 CIRI CEMERLANG USAHAWAN YANG POSITIF

Artikel motivasi ini memaparkan ciri-ciri, sikap dan sifat atau jati diri cemerlang orang-orang yang positif seperti pemimpin dan usahawan.

1. Semakin Tercabar, Semakin Kuat
Seseorang yang positif berperibadi kuat seumpama besi waja; semakin dibakar oleh keadaan, semakin menghadapi cabaran hidup, semakin teguh melayari kehidupan. Seseorang yang berperibadi lemah, laksana timah atau lilin; apabila terkena api, hancur lebur. Apabila terketuk oleh cabaran, berkecai!

2. Melihat Peluang Dalam Kegawatan
Orang yang negatif melihat kegawatan sebagai penghalang kemajuan. Tetapi, orang yang positif dapat melihat peluang keemasan dalam kegawatan!

3. Sentiasa Berusaha Bersungguh-sungguh
Seseorang yang positif berpegang kepada falsafah: kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Fokusnya ialah untuk mencapai kejayaan; mencapai matlamat yang telah ditetapkannya dengan penuh kesungguhan dan keberanian.

4. Tidak Menyalahkan Keadaan
Seseorang yang positif tidak mengeluh atau mengecam bila ditimpa musibah atau terdapat kekurangan pada dirinya. Sebaliknya ia menggunakan kekurangan-kekurangannya itu untuk kebaikan kepada dirinya serta orang lain.

5. Mendengar Dahulu Pendapat Orang Lain
Orang-orang yang positif tidak mengenepikan kecaman-kecaman musuhnya misalnya dengan terus mengatakan orang itu salah. Tetapi, ia akan mendengar kecaman-kecaman tadi dan memikirkan betulkah ia salah atau tidak. Perlu diingat, bahawa, bila orang mengecam, tentulah ada sebab-sebabnya. Kadang-kadang daripada kecaman orang lain, kita boleh dapat petunjuk untuk membaiki diri dan kerja kita.

6. Sentiasa Mencari Jalan Memperbaiki Diri
Orang yang positif sedar bahawa apa yang dilihat sebagai terbaik pada hari ini mungkin hanya dinilai sebagai sederhana saja 10 tahun akan datang. Oleh kerana itu, orang yang positif tidak henti-henti mencari jalan untuk memperbaiki kehidupannya / kebajikan rakyatnya.

7. Sentiasa Bangun Apabila Terjatuh
Orang yang positif tidak gemar dengan sikap suka berputus asa. Orang yang positif memandang sesuatu kegagalan itu pada sudut positif. Mereka memandang kegagalan sebagai guru terbaik dalam konteks mencapai kejayaan.

kredit : ( http://www.ugmc.bizland.com/ak-positif.html )