Setiap ahli perniagaan sentiasa ingin berjaya dengan cemerlang dan mengaut keuntungan semaksimum mungkin. Namun, bukan mudah menjadi usahawan dan perniaga yang berjaya kerana dunia perniagaan mempunyai pelbagai risiko dan masalah yang perlu dihadapi. Ahli perniagaan, sama ada peniaga kecil mahupun besar perlu memiliki beberapa ciri yang akan dibincangkan. Jika mahu berjaya dengan cemerlang, peniaga wajar dan patut memiliki ciri-ciri ini. Antara ciri-ciri ahli perniagaan yang berjaya adalah seperti yang berikut :
1. Memiliki modal yang cukup
Jika ingin memulakan perniagaan, seseorang itu perlu memiliki modal yang cukup agar dapat menjalankan atau membuka perniagaan dengan lancar. Kekurangan modal akan menjadi penghalang kepada seseorang memulakan perniagaan. Modal yang dimaksudkan di sini bukan sahaja modal yang cukup untuk membuka sesebuah perniagaan tetapi juga untuk simpanan dan modal pusingan.
2. Sentiasa berilmu
Jika ingin berjaya dalam perniagaan, anda perlu menjadi seorang yang sentiasa berilmu kerana ilmu adalah penting. Memiliki ilmu, terutama ilmu berkaitan perniagaan yang anda ceburi seperti ilmu pemasaran, ilmu perakaunan, punca kenaikan kos dan harga barang dan lain-lain adalah amat penting. Jika anda berilmu, anda akan mengetahui pelbagai perkara yang bersangkut paut dengan perniagaan. Memiliki ilmu juga akan membantu anda mengelakkan kerugian dan tahu menangani masalah dalam perniagaan.
3. Memilih perniagaan yang kurang risiko
Setiap jenis perniagaan, sama ada besar atau kecil tetap mempunyai risiko. Seseorang yang ingin berjaya dalam perniagaan perlu memilih jenis perniagaan yang kurang berisiko. Risiko pernigaan muncul akibat pelbagai faktor umpamanya persaingan dan kehendak pasaran. Tidak dinafikan bahawa sekiranya seseorang itu bijak mengendalikan perniagaannya, segala risiko dalam perniagaan dapat diatasi. Risiko perniagaan boleh menyebabkan perniagaan rugi dan jatuh bankrap. Justeru, sebelum memilih perniagaan, pastikan perniagaan tersebut tidak mempunyai banyak risiko yang memungkinkan anda rugi dan gagal dalam perniagaan.
4. Bijak mengatur perbelanjaan dan akaun
Peniaga perlu bijak berbelanja dan menguruskan akaun. Setiap hari perlu ada catatan keluar masuk (debit-kredit) wang. Setiap minggu dan bulan, kajian tentang untung rugi dalam perniagaan perlu dilakukan. Mengatur akaun perlu dilakukan oleh peniaga untuk mengetahui untung dan rugi dalam perniagaan supaya langkah mengelakkan kerugian dapat diambil. Memiliki akaun adalah langkah peniaga yang bijak yang ingin berjaya.
5. Memenuhi kehendak pasaran
Jika ingin memulakan perniagaan, peniaga perlu menyelidik dan memahami kehendak pasaran. Ramai peniaga gagal dalam perniagaan kerana tidak membuat penyelidikan tentang kehendak pasaran dan keutamaan pengguna. Sebaik-baik perniagaan ialah perniagaan yang memenuhi kehendak pasaran dan mampu memenuhi kehendak pengguna.
6. Produk dan perkhidmatan berkualiti
Peniaga perlu memberikan perkhidmatan yang berkualiti dan menjual produk yang bermutu serta memuaskan hati pelanggan. Kebanyakan pelanggan dan pengguna akan melihat kualiti produk. Pelanggan kini sering berfikir tentang kerugian. Justeru, pelanggan akan berbelanja untuk mendapatkan produk dan memastikan produk itu berkualiti dan berbaloi.
7. Berperibadi mulia
Peniaga perlu berperibadi mulia. Namun, terdapat peniaga bersikap sombong dan angkuh, terutama apabila melayan pelanggan yang banyak kerenah. Peniaga perlu sentiasa senyum dan melayan kerenah pelanggan dengan baik. Slogan "Pelanggan sentiasa betul" perlu difahami peniaga. Disebabkan peniaga ialah manusia yang sering berurusan dengan orang ramai. Maka, peniaga perlu memiliki peribadi yang baik dan disukai pelanggan dan pengguna. Peribadi yang baik akan banyak membantu peniaga untuk berjaya dan kekal dalam perniagaan.
8. Mempelbagai jenis perniagaan
Peniaga yang mempelbagaikan jenis perniagaan ialah peniaga yang bijak. Setiap peniaga perlu mempelbagaikan jenis perniagaan dan jangan hanya bergantung satu jenis perkhidmatan atau kepada sesuatu produk sahaja. Mempelbagaikan jenis barang akan menarik lebih ramai pelanggan.
9. Sentiasa merebut peluang
Peluang perniagaan wujud dalam pelbagai bentuk. Peniaga yang bijak akan merebut setiap peluang yang ada. Kejatuhan mata wang negara suatu masa dahulu memang menjejaskan ekonomi negara, namun dalam masa yang sama memberi peluang kepada peniaga yang bijak merebut peluang.
10. Memiliki IQ cemerlang
IQ cemerlang adalah penting bagi peniaga. Memiliki IQ cemerlang akan membantu peniaga dalam menyelesaikan banyak perkara dan masalah dalam perniagaan. Memiliki IQ cemerlang akan memandu seseorang peniaga bijak berfikir, bijak merancang, bijak merebut peluang, bijak membuat pemasaran, bijak mengelakkan kerugian, bijak membuat keputusan dan bijak menarik pelanggan.
Ciri-ciri ahli perniagaan yang berjaya ini mempunyai lebih 101 ciri, dimana kita boleh menjadikannya panduan dalam hidup kita serta mengamalkannya dalam perniagaan kita agar kita menjadi usahawan yang berjaya serta mempunyai matlamat hidup berpandukan apa yang kita lakukan. Antara 92 lagi ciri-ciri ahli perniagaan yang berjaya ialah seperti berikut :
- Mencari jalan mengelakkan kerugian.
- Menghabiskan stok.
- Bijak menarik pelanggan.
- Menyimpan keuntungan.
- Memiliki simpanan.
- Bersedia menempuhi kemerosotan.
- Merancang perniagaan.
- Hutang berjadual.
- Modal mengatasi hutang.
- Meneroka bidang baru.
- Pemasaran yang efisien.
- Berjaya memenuhi kehendak pelanggan.
- Komited dan bersungguh-sungguh.
- Mempunyai wawasan dan matlamat.
- Sabar dan tabah.
- Berani mencuba.
- Sentiasa bersaing.
- Berusaha meningkatkan keuntungan.
- Sentiasa belajar daripada pengalaman.
- Memanfaatkan masa.
- Memilih lokasi yang tepat.
- Merancang untuk berjaya.
- Sentiasa ada perubahan dan kemajuan.
- Berfikiran besar.
- Memberi kelainan.
- Biar kecil perniagaan,keuntungan besar.
- Memberi reputasi yang baik kepada pelanggan.
- Sentiasa mencari pelanggan.
- Tidak menjual produk tidak berkualiti.
- Menambah perkhidmatan tanpa bayaran tambahan.
- Sentiasa mendapatkan harga terbaik dari pembekal.
- Membuat penyelidikan.
- Berusaha mengekalkan harga rendah.
- Mengikut arus pasaran dan zaman.
- Mengikuti perkembangan ekonomi.
- Sentiasa memperbaiki kelemahan.
- Memilih kualiti bukan kuantiti.
- Mengelakkan tanggapan salah.
- Membuat perancangan berterusan.
- Mengeluarkan produk yang berjaya di pasaran.
- Melatih pekerja tentang perniagaan.
- Mengkaji kehendak pelanggan.
- Sentiasa memperbaharui produk dan khidmat.
- Meniru kemajuan pesaing.
- Mencari punca kegagalan.
- Peka dengan komen dan kritikan pelanggan.
- Mencari idea baru.
- Menyimpan keuntungan.
- Memilih pekerja berkualiti.
- Menolak produk yang tidak berkualiti.
- Mementingkan modal berbanding perbelanjaan.
- Mengikuti perkembangan semasa.
- Memajukan perniagaan tanpa jemu.
- Mengawal keinginan dan nafsu.
- Sabar dalam rancangan jangka panjang.
- Merancang pemasaran dengan bijak.
- Mengurangkan kerugian.
- Bijak berkomunikasi.
- Mencari kelemahan.
- Mengkaji kegagalan orang lain.
- Bersikap mahu berubah.
- Rajin bertanya.
- Fahami kos perniagaan.
- Belajar mengekalkan pelanggan.
- Cekap atasi masalah.
- Berusaha melipatgandakan keuntungan.
- Mengelakkan kelalaian.
- Tekun dan komited.
- Pelbagai taktik menarik pelanggan.
- Sentiasa tidak berpuashati.
- Berani hadapi persaingan.
- Berani hadapi risiko.
- Mempelbagai jenis perniagaan.
- Berusaha menjimatkan kos.
- Meningkatkan dan mengekalkan prestasi.
- Impian selari dengan usaha.
- Melihat kejayaan orang lain sebagai panduan,bukan ancaman.
- Merancang masa depan dengan baik.
- Merebut peluang.
- Memiliki pelan kecemasan.
- Usahasama antara usahawan.
- Bertanggungjawab kepada pengguna.
- Menambah kemahiran dalam perniagaan.
- Memanfaatkan masa.
- Bertindak sebelum terlambat.
- Sentiasa berhati-hati.
- Sentiasa memantau perniagaan.
- Hadiri kursus dan bengkel.
- Elakkan penipuan.
- Menerima pandangan pakar.
- Menjauhi sikap mahu cepat kaya dengan pantas.
- Mengikuti ajaran dan panduan agama.
0 comments:
Post a Comment