Monday, October 21, 2013

JATI DIRI TONY FERNANDES

Kejayaan luar biasa  selalunya  di hasilkan oleh seseorang yang juga  mempunyai peribadi yang luar biasa yang membantu dalam  setiap langkah  yang dilalui. Pertama  sekali ialah wujudnya minat untuk berniaga yang perlu untuk mendorong seseorang kearah itu. Dalam diri Tony Fernandes,  beliau banyak dipengaruhi oleh ibu beliau yang aktif dalam menjual tupperware ke serata tanah air. Bagi  Tony, ibu beliau adalah seorang wanita yang mengkagumkan kerana kemampuannya  yang luar biasa dalam menjual barangan   kepada sesiapa sahaja. Justeru itu beliau banyak belajar dari peribadi ibu beliau yang ternyata begitu penting dikala mengharungi  alam perniagaan.

Bapa beliau, Dr Stephen Edward Fernandes, sebaliknya amat berbeza daripada peribadi ibunya. Dr. Fernandes  memiliki sebuah klinik, tetapi tanpa keuntungan kerana terlalu bermurah  hati kepada setiap pesakit sehingga kerap kali memberi perkhidmatan dan  ubat secara percuma. Tony  sungguh tidak terpikat dengan cara cara bapa beliau berniaga.

Pada sekilas pandang memang  ada ciri ciri yang serupa  di antara  Tony dengan ayah beliau. Jika ayah beliau memberi keistimewaan kepada pesakit yang miskin, Tony juga memberi fokus kepada rakyat yang kurang mampu untuk membeli tiket penerbangan biasa. Tetapi bezanya, jika ayah beliau membantu pesakit dengan tujuan mengurangkan bebanan mereka, sehingga mengorbankan keuntungan, Tony juga membantu rakyat yang tidak mampu membeli tiket kapal terbang, tetapi beliau tetap  terikat dengan prinsip perniagaan berasas keuntungan  dan lestari (berkekalan).

Kemampuan beliau berkomunikasi, mempengaruhi orang  dan semangat yang kental amat mengkagumkan dan merupakan satu ciri yang diwarisi dari ibu beliau.  Selain itu zaman persekolahan dalam usia yang sangat muda (umur 13 tahun) di sekolah berasrama di England, juga memberi kesan yang mendalam  kepada peribadi beliau. Di sana, berjauhan dari keluarga dan kampung halaman, membentuk nilai teras  dalam peribadi beliau, terutama kemampuan berkomunikasi dan berdikari dalam apa jua suasana.

Ibu beliau meninggal sewaktu Tony hanya berusia 15 tahun meninggal kesan yang mendalam kepada beliau. Ia meninggalkan kekosongan dalam hidup dan membantu dalam membentuk peribadi yang cekal dan  mampu berdikari di mana sahaja.

Jika di lihat dari segi kecenderungan usahawan mengambil risiko, Tony adalah contoh yang amat ekstrim. Beliau adalah seorang yang nampaknya hyperactive begitu fokus dalam melaksanakan perkara yang beliau minati, sehingga sanggup menggadai apa sahaja yang beliau miliki walaupun masih jauh daripada mencukupi sebagai modal syarikat.  Mungkin ini bukan suatu perkara yang menghairankan, jika yang diminati  itu matlamat yang biasa, tetapi untuk memiliki sebuah syarikat penerbangan sudah tentu bukanlah sesuatu dalam jangkaan untuk seorang yang tidak  memiliki modal yang cukup dan hanya berbekalkan minat dan semangat yang kental.

Sungguhpun demikian adalah kurang tepat menyatakan yang Tony bersikap reckless dalam membuat sesuatu pertimbangan kerana beliau tetap mementingkan soal keuntungan. Malah beliau  amat yakin  kepada soal potensi pertumbuhan yang tinggi dalam industri penerbangan di Asia sebelum menceburi sektor tersebut.

Bagi menentukan kejayaan, sikap beliau yang fokus  kepada sesuatu projek adalah suatu ciri yang tepat dan dapat membantu mengurangkan risiko.  Beliau berkata, ” Saya bukanlah seseorang yang suka memulakan dua puluh benda dan  kemudian berharap tiga akan berjaya. Saya lebih berminat memulakan dua atau tiga dan tentukan ia berjaya, kemudian laksanakan usaha usaha seterusnya”. Sikap ini biasa kita nampak ada pada usahawan terkemuka seperti Tan Sri Syed Mokhtar, Mydin, Tan Sri Azman Hashim,  Tan Sri Teh Hong Piow  di tanah air kita dan usahawan usahawan seperti pengasas Microsoft,  Apple, Facebook, Ford Motor Company, Honda Motors dan banyak lagi di arena global.

0 comments:

Post a Comment